Wednesday, October 29, 2008

AYAM DAN ITIK




Malam yang tenang. Seusai mengambil seorang rakan dari UK yang pulang ke Malaysia, saya membawanya ke sebuah restoran. Teman lama, bersekolah dan dalam kelas yang sama dari tingkatan satu sehingga tingkatan tiga.

“Kita menafsir sesuatu itu berdasarkan apa yang kita percaya dan dipengaruhi,” dia memulakan perbincangan.

“Maksudnya?” Saya mula tertarik dengan kata-kata tersebut.

“Pengalaman membentuk pemikiran kita. Pengalaman tersebut hasil daripada apa yang kita belajar, apa yang kita tahu dan apa yang kita lalui. Contoh pemahaman kamu tentang solat mungkin lain daripada apa yang saya faham.”

Pengalaman membentuk pemikiran dan pemahaman

Saya mengangukkan kepala tanda mengiakan katanya. Semasa berada di Program Latihan Khidmat Negara(PLKN) dulu, ada juga pelajar sekolah agama yang tidak solat. Mungkin pemahamannya tentang solat lain daripada apa yang saya faham.

Dan begitu juga dalam batas hubungan antara lelaki dan perempuan. Semasa di sekolah dahulu hendak bercakap pun kena tundukkan pandangan, kalau tidak memang kena ‘basuh’ dek senior. Tetapi selepas memasuki alam universiti, terserempak pula senior yang dahulunya exco BADAR pun keluar berdua dengan teman wanitanya.

Ops. Mungkin kawan wanita dia. Ya, pemahaman dia tentang kawan dan pemahaman saya tentang kawan lain. Begitulah maksud kata-kata kawan saya dari UK tadi barangkali.

Mungkin juga pada masa akan datang, apa yang saya faham tentang muamalah, hubungan lelaki dan wanita, perancangan hidup, politik dan sebagainya juga lain daripada sekarang.

Bahasa kita berbeza

“Sebagai contoh segelintir mengatakan cara nasihat yang lembut yang diguna pakai jemaah tabligh tidak mampu bertahan pada zaman kemungkaran makin menular. Malah Abul A’la Al-Maududi pernah mengatakan cara seperti missionary Kristian tersebut tidak begitu praktikal.

Tetapi bagi orang tabligh sendiri yang mengikuti sendiri kaedah tersebut, yakin dan percaya cara tersebut masih lagi sesuai pada masa sekarang,” rakan saya tadi menyambung penerangannya.

“Kumpulan A mengatakan cara kumpulan B tidak praktikal kerana mereka bercakap berdasarkan pengalaman mereka. Malah mungkin kumpulan B juga ada sikit-sikit mengatakan cara kumpulan A tidak praktikal malah cara mereka paling praktikal kerana mereka juga bercakap berdasarkan pengalaman mereka.”

Pernah juga dalam satu program yang dianjurkan KONSIS yang ketika itu urusetia program tersebut terdiri daripada tiga badan mahasiswa yang lain ragam dan lain kehendak.

Satu jenis menginginkan program KONSIS itu dipenuhi dengan pengisian kerohanian sahaja. Satu lagi menginginkan adanya slot yang memberi tunjuk ajar tentang kemahiran-kemahiran berdakwah yang diperlukan oleh para mahasiswa. Mujur satu lagi badan menjadi orang tengah dalam setiap perbincangan yang diketengahkan.

“Ya, dan kita tidak boleh secara menyeluruh mengatakan yang diri kita adalah betul kerana pemikiran kita itu wujud berdasarkan apa yang kita percaya, apa yang kita belajar dan apa yang kita lalui.”

“Walaupun kita dalam satu kumpulan yang sama(jemaah) tetapi melalui proses pengalaman yang berbeza, maka cara gerak kerja dan pemikiran kita tentu berbeza sedikit.”

Rabu minggu lepas, sempat saya ke sekolah lama bertemu cikgu-cikgu dan beberapa orang rakan. Seorang rakan saya tertarik dengan jaket yang saya pakai. Kemudian ternampak logo pada jaket tersebut dan bertanya tentang logo tersebut.

“Logo KARISMA,” saya menjawab ringkas.

“KARISMA? Enta join KARISMA ke?”

“A’ah.”

“KARISMA… mengarutlah…” katanya sambil mendengus.

“Apa yang mengarutnya?” Tanya saya kembali mahukan jawapan.

Tetapi dia diam sahaja. Mahu sahaja saya katakan, ‘Bahasa kita berbeza. Dan cara kerja kita juga berbeza. Tidak perlulah mencari perbezaan sesama yang lain. Kalau betul ada masalah, beritahu dan kita selesaikan.’

Kita hanya faham situasi seseorang atau sesuatu kumpulan itu kalau kita sudah bersamanya.

Cara kita menafsir itu berdasarkan apa yang kita faham dan percaya, bukannya apa yang si dia faham dan percaya. Fahami si dia dan dengan itu kita boleh bekerjasama.

*Gambar ayam dan itik disalin dari website http://www.unicef.org/

dipetik dari
Azree Hanifiah @ StudioMuslim.com

No comments: