Monday, March 2, 2009

Anak Buluh Betung..TV3...Selawat Syifa'

Drama bersiri Buluh Betung di TV3 setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang menarik perhatian saya terutama lagu tema yang digunakan oleh penerbit drama tersebut, Selawat Syifa'.

Bukan lah suatu perkara yang pelik menjadikan selawat atau nasyid sebagai lagu tema sesuatu drama, tetapi penerimaan masyarakat pada masa kini dan juga kesannya kepada masyarakat penonton khususnya.

Saya tidak berkesempatan untuk mengikuti siaran ini setiap hari kerana tugasana kerja tetapi sempat juga mengikuti nya di TV9, siaran ulangan pada malam hari.

Yang menarik perhatian saya ialah, telatah dua orang sepupu saya yang masih kecil berusia 4 dan 6 tahun. Petang tadi setelah pulang dari bank atas urusan syarikat, saya menyinggah ke rumah sebelah, rumah makcik , untuk bermain-main dengan sepupu saya yang dua orang ini.

Mereka menyambut saya dengan menyanyikan lagu selawat syifa'...ibunya bercerita, baru sahaja selesai tengok drama Buluh Betung, tapi selawat syiafa' tu tak dapat dengar sampai habis..boleh tolong nyanyikan pada dak dua orang ni?...tanya ibunya.

Saya agak terkejut kerana mereka berdua dapat mengikut selawat syifa' yang saya ajarkan lebih -lebih lagi selawat tu mereka dengar dari drama bersiri yg mereka tontoni. Kakaknya mengajak saya menyanyi lagu lain seperti nenek si bongkok tua, burung kakak tua, air pasang malam,dan apa sahaja lagu yang dinyanyikan di sekolah...tetapi kerana adiknya asyik mengulang - ngulang selawat syifa'..fokusnya beralih ke selawat.


maka, sepetang saya bersama mereka hari ini, hampir sejam lebih, mengajar dan berselawat bersama sepupu saya ..sesungguhnya, singgahan saya petang ini amat bermakna..dapatlah saya berselawat.
Selalu je berselawat cuma yang kali ni lebih seronok sebab berkongsi bersama adik-adik..
Sekarang ini, bulan Rabbiul awal, tak lama lagi sambutan Maulidur rasul dan juga kewafatan rasul di bulan yang sama...banyakkan selawat dan rasanya satu aktiviti sudah terlintas di fikiran saya iaitu aktiviti Mari Berselawat, teruja juga rasanya kerana ramai yang akan sertai terutama sepupu - sepupu saya dan molek jika saya dapat sediakan aktiviti menarik untuk mereka.

Apa pun, pemilihan lagu tema yang dilakukan amat bersesuaian dengan cerita malah dapat menarik ramai orang dan masyarakat untuk berselawat.Apakah pentingnya selawat? Kenapa semua orang berselawat? Besar sangatkah selawat itu? Mari kita sama-sama selidik kebesaran selawat ini. Tak seronoklah berselawat bila kita tak tahu kelebihan-kelebihan selawat. Berikut merupakan antara keajaiban selawat.Bukan dikhusukan untuk selawat syifa'..tetapi secara umumnya.Banyak manfaat nya.

1.Sabda Rasullah SAW: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda - (Hadis Riwayat Muslim.)

2.Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.

3.Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

4.Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

5.Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

6.Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

7.Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

8.Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

9.Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki dan sebagainya dalam dirinya.

10.Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, insya-Allah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

11.Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

12.Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

13.Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.

14.Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

15.Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

16.Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17.Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18.Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19.Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20.Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

21.Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

22.Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insya-Allah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

23.Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

24.Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.

25.Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya-Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26.Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.

27.Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

28.Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

29.Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - Hadis Riwayat Abu Naim.

30.Sabda Nabii SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat - Hadis Riwayat Thabrani

Demikianlah betapa banyaknya ganjaran bagi orang-orang yang berselawat. Oleh itu, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kita tergolong dalam orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat, insya-Allah.

sumber diperoleh dari http://soleh.net/2007/09/26/keajaiban-selawat/

Wallahu a’lam.

No comments: