Tuesday, June 29, 2010

Travelog Cinta Abadi

Saya baru sahaja melihatnya seminggu lepas...sewaktu memilih buku untuk dihadiahkan pada teman rapat. Sempat saya menyelaknya dan hati terus terpaut untuk menghayatinya. Tetapi, tiada kesempatan untuk mendapatkannya pada waktu itu. Saya pendamkan dulu niat, dan dahulukan yang lebih utama.

Semalam, duit di tangan mencukupi untuk saya memperolehinya. Terus sahaja ke kedai buku dan membelinya dengan hati yang gembira. Dari kulit luar juga tajuknya sekilas pandang kali pertama, pasti penuh dengan coretan cinta remaja...tetapi, sewaktu menyelaknya seminggu yang lalu, saya yakin, coretan cinta untuk yang Maha Esa.

Pulang ke rumah, hari sudah sore, sementara menanti makcik saya, untuk temujanji minum petang, sempat saya membaca beberapa episod cerita buku ini. Oh! saya jatuh cinta dan jatuh cinta saya adalah kesinambungan dari pandangan pertama.

Sewaktu minum petang, menu kami, teh goyang dan teh tarik serta kentang goreng...niat di hati untuk menikmati roti bakar, tetapi restoran itu tidak menyediakannya. Saya bersembang pasal buku ini dengan makcik saya, dan beberapa pandangan terhadap hasil bacaan beberapa helai muka surat dari buku ini, dan yang pasti, saya jatuh cinta terus menerus.

Penulisnya, isteri kepada, penulis Travelog Dakwah..dan yang menjadikan saya teruja, saya pernah datang ke rumah mereka, duduk makan tengah hari dan minum petang bersama, malah bersembang dan bercerita bersama. Kini, saya membaca tulisannya pula. Sungguh ukhuwwah sangat indah, bukanlah hanya pada detik pertemuan tetapi juga pada hubungan selepas pertemuan.

Travelog Cinta Abadi ini apa yang dapat saya ceritakan , penulisnya menggarap episod-episod kehidupan berdasarkan pengalaman beliau malah ianya ikhlas dan jujur dari hati beliau. Setiap episod itu padat dengan isi dan pengajaran. Bagi beberapa episod tertentu, hikmah di sebalik cerita, terpulang kepada pembaca untuk mengulasnya tetapi saya yakin, setiap pembaca mendapat maksud yang sama cuma penjelasan ayat yang berbeza.

Buku ini membuatkan saya benar-benar jatuh cinta kerana coretan hatinya juga doa yang dititipkan, pernah menjadi doa saya juga. dan doa itu hingga kini dan tidak berhenti saya menitipkan di bibir dan di hati. Bukan setakat doa, malah, setiap pengalaman yang dicoretkan, membawa saya kepada zaman kanak-kanak saya, dan hampir serupa ...bezanya, saya lahir elektrik memang sudah ada di rumah, tetapi, pengalaman bersama abah dan mak, sikit-sikit tak lari dari kenangan yang lebih kurang sama.

Pembawaan cerita yang mudah untuk dihayati serta menjadikan pembaca turut merasai dan berada di dalam episod pengalaman itu. Muhasabah diri yang cukup santai tetapi air mata keinsafan tidak berhenti mengalir.

Syukur pada Allah, jatuh cinta pandang pertama saya , membawakan saya kepada sesuatu yang cukup bermakna terutama tika waktu ini saya sedang mencari sesuatu yang masih belum ada jawapan. Alhamdulillah, atas petunjuk yang diberikan serta gerak hati dalam membuat keputusan, pertemuan dengan buku ini membawa seribu pengharapan untuk mencapai cinta abadi.

Buat sahabat-sahabat, pandangan kita mungkin berbeza, tetapi, ilmu yang dicari dan dikutip dari sumber yang satu. Selamat menghayati Travelog Cinta Abadi. dari Roza Roslan.



2 comments:

Roza said...

Assalamualaikum,

Terima kasih kerana sudi berkongsi kenangan indah zaman kecil saya.

Ia telah lama berlalu. Yang tinggal hanyalah kenangan. Kenangan itu abadi. Ia berbekas di hati.

~ Sarah Azizul ~ said...

waalaikumsalam,

Bila saya membacanya, saya sgt teruja, mengalir air mata, dan kadangkala tersenyum dan ketawa sorang2...terima kasih atas kesudian perkongsian kenangan itu.

tidak pernah mengenal petai lalang, tapi bila bercerita dgn mak dan makcik2, semua gembira, kerana mengimbau kenangan mereka.

Semoga kenangan itu terus utuh dan hikmah disebaliknya meneguhkan cinta pada Ilahi