Tuesday, February 18, 2014

Ikan Sembilang/ Keli Goreng Berlado

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Dalam kebanyakan masakan ikan keli, kami adik beradik sangat suka Keli Goreng Berlado. Setiap kali nenek buat kenduri, Keli Goreng Berlado antara lauk utama kenduri. Selain itu, di kampung abah yang terletak di Lenggeng, Negeri Sembilan, ada sebuah kedai kopi yang menyajikan pelbagai jenis nasi lemak yang berasaskan lauk ikan keli/sembilang dan yang paling digemari, Keli Goreng Berlado! . Ada juga masakan lain seperti Keli Masak Gulai atau dikenali juga Keli Masak Lemak Cili Api, Tempoyak Keli dan lain lain lagi. 

Kali ini, saya kongsikan resepi Keli Goreng Berlado yang sangat digemari. Senang dan Ringkas. Bahan -bahan nya seperti berikut :

Ikan Keli  ( 4 ekor saiz sederhana) 
Cili Boh   (3 senduk)
Bawang besar - ( 1 1/2 biji)  dikisar bersama bawang putih . 
Bawang  putih - (2 ulas )
Garam
Gula
Air asam Jawa (pekat) - sekiranya cair, sambal nya perlu digoreng lama supaya kering. 
* Cili boh dilebihkan dari bawang

Cara - caranya : 

1. Ikan keli yang telah dibersihkan digaramkan dan dikunyitkan sebelum digoreng di dalam minyak panas. Untuk menghasilkan ikan keli yang digoreng rangup, goreng dengan api yang sederhana dan angkat apabila bunyi minyak hampir senyap. 

2, Tumiskan cili boh dan bawang yang telah dikisar sehingga garing. 

3. Masukkan air asam jawa dan perasakan dengan garam dan gula. 

4. Untuk memaniskan lagi rasa sambal tersebut, masukkan bawang besar yang telah dihiris. Selain rasa, rupanya juga menarik.

5. Setelah masak dan agak kering, masukkan ikan keli yang telah digoreng dan gaul rata. Sedia untuk dihidangkan. 

* selalunya ikan keli tersebut kami potong kepada 3 /4 bahagian supaya lebih garing lagi apabila digoreng. 
* Ikan keli apabila digoreng, biasanya menyebabkan minyak meletup. Selalunya, ikan keli itu dikeringkan dengan tisu atau kain yang bersih sebelum diperasakan.
* Sifat sambal ini, kering. 




No comments: